Sudah sedia maklum, kerjayaku adalah seorang pelaut, bererti aku harus mengikut belayar diatas kapal kemana sahaja ianya pergi. Diatas sana, aku sebagai jurutera enjin dimana kawasan kerjaku banyaknya meliputi engine room. Kerjaya ini baru sahaja aku ceburi selepas aku menamatkan pembelajaranku dimana jurusan yang aku ambil memang sesuai dengan kerjaya aku sekarang ini. Pertama kali aku menaiki kapal ketika aku menjalani praktikal sebagai cadet tidak lama dulu, dan ianya telah memberikan aku sesuatu pengalaman yang bermakna dan perasaan yang bercampur-campur. Sedih ada, kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan kawan-kawan. Gembira ada, kerana dapat melawat negara-negara orang yang selama ini memang teringin pergi. Teruja pun ada, kerana dapat berkenalan dan bekerja dengan bangsa yang bukan dari Malaysia. Kerana itu, aku telah menanamkan satu impian dalam bidang ini yang ingin aku capai, Insya'Allah, agar usaha aku kearah itu akan tercapai.
Tetapi, dalam mencapai impian pasti ada halangannya. Halangan terbesar terpaksa aku hadapi ialah tekanan emosi kerana ramai orang yang memandang serong terhadap kerjaya halal ini. Persepsi orang ramai terhadap kerjaya ini dari dulu hingga sekarang masih sama. Menganggap kerjaya ini tidak bermoral kerana rata-rata menganggap pelaut ini seorang kaki perempuan, kaki botol, kaki judi, dan segala tanggapan negatif diberikan sehingga ada sampai yang mengatakan "sailor have a wife at every port". Seolah-olah, pelaut ini hanya tahu berseronok sahaja !
Aku tidak menyalahkan orang yang memberi tanggapan itu, dan aku juga tidak menafikan tanggapan itu. Memang, dulu aku hanya mendengar sahaja tanpa melihat dengan mataku sendiri, dan aku memberi segala macam alasan untuk menafikannya, tetapi setelah aku menceburi bidang ini, baru aku tahu semua itu betul dan aku juga pernah berjumpa dengan seorang pelaut yang terlalu obses dengan kesoronokan, terutama setelah mendapat gaji.
Apa yang ingin aku beritahu disini, tidak semua pelaut berperangai begitu, kerana masih ada segelintir pelaut yang masih berpegang kepada adat tradisi dan agama mereka. Bukan mahu kata yang mereka ini baik, sekurang-kurangnya mereka masih mampu untuk mengawal nafsu keseronokan mereka diatas kapal. Aku juga pernah bertanyakan, 'tidak mahu berseronok ke dengan gaji yang dapat ?', dan mereka menjawab yang mereka sudah mempunyai tanggungan yang harus mereka utamakan, dan keseronokan bagi mereka apabila keluarga mereka mengucapkan terima kasih diatas pemberian tersebut. Terharu juga mendengar jawapan itu dan secara langsung telah memberi bukti kepada aku bahawa pelaut ini masih ada yang baik.
Justeru, aku ingin mengubah pandangan orang terhadap kerjaya ini, dengan menunjukkan bahawa diriku seorang pelaut yang mampu membawa diri kemana sahaja aku pergi, oleh itu aku harus perbaiki segala kelemahan diriku untuk menempuhi segala dugaan sewaktu belayar. Biarpun didalam peratusan dikatakan 99% pelaut tergolong dalam golongan tidak bermoral, sekurang-kurangnya masih mempunyai 1% pelaut yang masih tergolong dalam golongan yang baik, dan aku ingin menjadi golongan 1% itu. Tidak banyak, sedikit pun jadilah, asalkan rezeki yang aku terima ini diberkati tuhan.
Disini, ingin aku berpesan buat teman-teman seperjuangan, teruskanlah perjuangan kalian dalam bidang ini, kerana kitalah tunggak pembangunan ekonomi negara. Bayangkanlah jikalau ketiadaan pelaut, siapa yang mahu menggerakkan kapal ? Dan jikalau kapal tidak bergerak, bagaimana produk negara mahu dibawa keluar negeri dan negara ? Dan jikalau tiada pengeluaran produk negara, bagaimana sesebuah negara itu mahu maju ? Sebenarnya secara tidak langsung, kita sebagai pelaut telah menjalankan sistem tersebut, dan selayaknya kita patut berbangga dengan kerjaya yang kita pilih ini. Apa yang paling penting sekali, sentiasalah mencari keredhaan Ilahi agar setiap pekerjaan yang kita lakukan akan mendapat keberkatan dari-Nya.
Akhir sekali, aku ingin mengatakan bahawa aku berasa bangga dengan kerjayaku sekarang ini, dan jikalau diberi peluang umur yang panjang, badan yang sihat, satu hari nanti, aku ingin berkongsikan pengalaman pelayaranku ini kepada anak-anak generasi yang akan datang, Insya'Allah.
(dipetik dri sebuah blog.. tapi sudah lupa di mana lamannya untuk share)